Pengikut

Bendera Negeri Sabah

Bendera Negeri Sabah

Mengenai Saya

Foto saya
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia
Sentiasa Berjuang ke jalan Allah dengan penuh semangat juang yang tinggi

kereta sewa pandu

Jumaat, 26 September 2008

Mencari Lailatulqadar yang belum ditemui

LanH
Thu | Sep 25, 08 | 6:13:13 pm MYT

Ramadan berbaki beberapa hari lagi. Lima, 4, 3, 2, 1 dan Aidilfitri. Akhirnya Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan daripada api neraka itu meninggalkan kita. Sebelum Ramadan ini berakhir, tiba-tiba terlintas di hati saya untuk mengisi kolum ini yang saya sudah tinggalkan sejak dua bulan lalu.
Iklan




Tentunya saya beralasan sibuk sejak Harakah terbit dua kali seminggu sejak pertengahan Ogos lalu. Tetapi pada akhir Ramadan ini, dalam kesibukan itu saya teruja membuat sedikit bakti dalam dunia penulisan ini, moga-moga ia ada manfaatnya dan dapat menolong saya di alam sana.

Kesedaran menulis datang selepas saya mendengar tazkirah zuhur hari ini (25 Ramadan/25 September). Pada kuliah itu, ustaz terbabit menyatakan jika keseronokan atau keasyikan Ramadan sudah menguasai jiwa barulah puasa kita membawa erti. Jika tidak, dikhuatiri puasa kita hanyalah sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau lebih tinggi sedikit iaitu menahan anggota diri daripada perkara-perkara bukan hak.

Bagaimana mahu mendatangkan keasyikan Ramadan? Ustaz itu mengkiaskan tingkah laku seorang peminat bola sepak, katakan penyokong tegar Perak. Penyokong ini bekerja di Kuala Lumpur, tetapi kerana fanatiknya kepada pasukan Perak, di mana saja ada perlawanan membabitkan pasukan ini , akan dihadirinya. Jika pasukan Yob ditakdirkan bermain di Pulau Pinang, peminat tegar ini akan melakukan apa saja supaya dia dapat ke sana.

Kalau perlu menipu untuk mendapat cuti, dia akan lakukan. Kalau tiada kenderaan, yang ada cuma sebuah motosikal Cup, dia sanggup menunggang dari KL ke Ipoh atau Pulau Pinang. Panas, hujan malah sakit, tidak dipedulikannya. Yang penting dia mesti menyaksikan pemain Yob beraksi. Cintanya kepada pasukan Yob sudah menjadikan dia begitu. Dia sudah asyik dengan dunia bola dan Yobnya.

Bagaimana mahu asyik dengan Ramadan? Ini soalan sukar dijawab. Ustaz itu berkata, orang yang sudah asyik mahsyuk dengan Ramadan, tidak peduli apa lagi. Kuih raya ke, baju raya ke, duit raya ke, semuanya tidak ada dalam kamus mereka. Sebaliknya mereka cukup cemas dengan ibadat dan penghambaan terhadap Yang Maha Kuasa kerana Ramadan semakin hari semakin menuju penghabisan, macam 'countdown' 5,4,3,1 dan Aidilfitri.

Demikianlah, orang yang asyik dengan Ramadan berasa sedih kerana ia akan berlalu. Tetapi kita ini, termasuk saya sebagai orang awam bagaimana pula? Kita pun tidak sabar dengan 'countdown' 5,4,3,2,1 tetapi akhirannya akan berbunyi 'Hip-hip horee, hip-hip horee, Esok hari raya!' Itulah saya dan sebahagian kita pada era 'jahiliah' (semasa zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa) dulu, tetapi kini saya mulai termenung memikirkan betapa tersasar jauhnya kita dalam menghadapi Ramadan dan Aidilfitri.

Saya mula tercari-cari Lailatulqadar yang tidak pernah saya temui. Macam mana hendak jumpa sebab saya sama seperti sebahagian besar generasi baru dibesarkan dalam suasana tidak menjuruskan ke arah itu. Ini kerana pengertian Ramadan dan Aidilfitri terpesong terlalu jauh daripada apa saya fahami sejak merajinkan diri menghadiri tazkirah dan kelas-kelas pengajian di masjid sejak beberapa tahun lalu. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya. Dan saya sebagai seorang Melayu terikut-ikut dalam budaya yang berat untuk saya katakan sonsang ini.

Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT. Tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Tataplah akhbar, terpapar kisah makanan dan penyediaan makanan. Gerai menjual makanan muncul di sana sini. Kisah ayam percik, kisah tahi itik, semuanya mewarnai Ramadan.Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan.

Tidak cukup dengan itu muncullah buffet Ramadan di restoran, di hotel. Makan dan makanlah. Ramadan adalah untuk menahan nafsu termasuk mengekang makan dan minum tetapi Ramadan nampaknya adalah bulan untuk memuaskan nafsu makan. Kalau pada siang hari nafsu itu tidak dapat dipuaskan, tidak mengapalah, pada malam hari ia boleh dipuaskan, sepuas-puasnya.

Kemudian muncul pula bazar Ramadan, pasar Ramadan, 'sale' Ramadan dan bermacam-macam lagi perkara yang dikaitkan dengan Ramadan. Ramadan itu adalah untuk mengekang nafsu, tetapi nampaknya Ramadan adalah bulan untuk memuaskan nafsu. Nafsu membeli memuncak pada Ramadan, set perabot yang tidak pernah bertukar boleh bertukar pada Ramadan, langsir yang ok ditukar juga pada Ramadan, peti sejuk yang ok pun ditukar baru, kereta yang ok jadi tak ok pada Ramadan kerana mahu ditukar; malah rumah pun kalau boleh mahu ditukar Ramadan ini.

Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini. Mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, tetapi mereka menyuruh orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul.

Seorang pemimpin sebuah negeri di selatan tanah air, dalam mempromosi aspek pelancongan, mengerahkan penduduk kampung memasang pelita, sebuah kampung dilaporkan menang dan mendapat hadiah lumayan selepas kira-kira 40,000 pelita menerangi kawasannya.

Bayangkan berapa banyak kos diperlukan dan apa yang dapat dikatakan tentang perbuatan membazir amalan syaitan ini? Seorang uztaz mengingatkan pemasangan pelita dengan niat dan pandangan terpesong misalnya percaya ia boleh memudahkan arwah saudara-mara kembali ke rumah masing-masing adalah perbuatan syirik dan merosakkan akidah. Orang taat sibuk dengan solat dan mengenang dosa diri dan nasib dalam kubur, ada penduduk kampung termasuk veteran sibuk bermain cahaya ribuan pelita tujuh likur.

Ketika ini pada ketika segelintir insan bertakwa menangisi Ramadan yang akan berakhir tidak lama lagi, ada kumpulan-kumpulan tertentu bertungkus-lumus menyiapkan program-program lara atas nama kemuliaan Syawal untuk disiarkan di skrin-skrin televisyen. Maka sepanjang raya, terpancar dan berkemundanglah segala program hiburan terutama nyanyian, tidak henti-henti 24 jam sehari.

Berakhir Ramadan, pesta makan-makan berlanjutan, sebulan lamanya. Yalah, kata mereka Syawal itu sebulan lamanya. Jadilah orang Melayu berpaksi kepada makan minum, berpesta, berhibur; pengajaran Ramadan tidak langsung melekat di hati mereka.

Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad.

Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya.

Tujuan Ramadan adalah untuk menghasilkan insan bertakwa dan tawaran Allah SWT, menjanjikan pengampunan dan bebas daripada api neraka sewajarnya menjadi buruan setiap Muslim.

Itulah yang baru saya ketahui sejak akhir-akhir ini menyebabkan saya termenung memikirkan betapa sesat dan songsangnya saya selama ini. Mungkin itu antara sebab mengapa Lailatulqadar yang saya cari, belum terjumpa lagi. - Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _
Masa untuk menyertai PAS
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Tue | Sep 16, 08 | 2:41:30 pm MYT

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.
Iklan




Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,

� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,

� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Rabu, 10 September 2008

Saya tak pengaruhi Tok Guru Nik Aziz'

Intan Abdullah
Tue | Sep 09, 08 | 12:26:42 pm MYT
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakri Harun terkenal dengan wataknya yang santai dan berkarektor seni. Beliau juga turut aktif sebagai penulis buku yang kini banyak menghasilkan karya terutamanya mengenai pemikiran Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Iklan



1. Anda minat bidang seni tapi bekerja sebagai Setiausaha Politik kepada seorang tokoh ulama dan ahli politik yang begitu disegani sangat. Nampak semacam ada kontradiksi?

Kecenderungan terhadap seni bermula sejak ingatan ini diberikan Allah. Saya berasa selesa dengan apa sahaja yang indah dilihat, didengar, dilihat, dirasa, disentuh. Kebetulan Islam itu indah, dan sesungguhnya Allah juga cantik dan sukakan keindahan. Sesungguhnya ia merupakan suatu anugerah Allah yang tidak dapat dinafikan malah ia adalah fitrah kepada manusia yang menyukainya. Allah menciptakan bunyi-bunyian sebagai sebahagian daripada anugerah-Nya bagi menyentuh hati manusia, yakni tempat bertakungnya pantulan yang bersifat seperti cermin.

2. Imej anda yang berambut panjang, berpakaian ala-Barat seperti mengenakan sepasang kot ketika mengiringi Menteri Besar Kelantan menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak.

Imej saya? Jika ada pihak yang merasa sangsi dan curiga dengan penampilan ini akan mendatangkan fitnah kepada PAS, atau ada pada kecenderungan seni, ia ada dalam keadaan paradoks bahkan pada suatu ketika saya tidak boleh berkompromi dengan seni yang ada pada diri saya.

Malah saya lebih mudah memahami apa yang indah, walaupun ada yang beranggapan ia mungkin akan merosakkan tetapi saya masih bersama dengan semangat Islam yang bersifat indah.

Saya tidak menolak ia boleh jadi haram ataupun harus hukumnya. Namun sekiranya ia melalaikan dan mengarah kepada maksiat maka ia lebih menekankan nafsu semata-mata. Di sinilah saya bersifat selektif agar tidak memberi pilihan kepada terlalu berat ke arah hedonisme.

Inilah cabaran kepada para seniman dan Paksi Rakyat bagi menyumbang sesuatu kepada seni memandangkan tidak ramai individu di dalam gerakan Islam boleh menangani golongan ini. Saya berpandangan bahawa kesenian dalam Islam tidak hanya menumpukan kepada tilawah al-Quran dan nasyid sahaja. Ia lebih luas daripada itu

3. Anda pengumpul karya tok guru bagi membukukannya. Banyak buku dikatakan ditulis dengan nama anda dan mengapa anda tidak bertanding pilihan raya?

Tiada istilah kepuasan dalam kehidupan bagi mengembangkan kreativiti. Saya akan meneruskan kerja-kerja penulisan kerana saya percaya ia sebahagian daripada keindahan yang saya minati.

Saya suka bahasa yang indah-indah bagi menyampaikan mesej yang tidak putus-putus daripada riwayat tok guru. Dalam buku karya tok guru, walaupun ia bukan sepenuhnya dikarang oleh tok guru, saya hanya membantu membahasakan karya asal beliau supaya mudah difahami maksudnya oleh pembaca dan dibuat panduan serta pedoman.

Sememangnya saya telah membuat keputusan tersebut sejak awal kerana bagi saya ia memerlukan suatu tempoh bagi menghasilkan karya, tetapi ia memerlukan seluruh masa dan komitmen bagi menjadi seorang wakil kepada rakyat. Saya perlu berikan seluruh masa saya untuk memikul amanah tersebut.

4. Banyak persepsi yang menyebut kenyataan tok guru terlalu dipengaruhi oleh anda? Tiadalah saya melakukan sedemikian melainkan beliau jualah yang sedang memimpin saya. Ini bermaksud bahawa saya adalah sebagai pengikut kepada pemimpin.

Saya telah duduk bersama beliau sepanjang 10 tahun sebagai Setiausaha Politik dan selama tempoh itu jugalah kami bertukar-tukar fikiran serta berkongsi pendapat. Malah ada juga masanya kami berselisih pendapat.

Maklumlah, saya mempunyai latar belakang pendidikan yang tidak sama dengan beliau yang sepenuhnya berteraskan agama. Saya menerima bahawa ditakdirkan Allah berkhidmat dengan tok guru.

Saya menganggap ia merupakan ujian dan tuah kepada saya, bahkan ada ketikanya saya memberikan teguran kepada beliau. Namun beliau begitu terbuka dan berlapang dada terhadap sebarang pandangan dan teguran tersebut. Saya juga sekadar 'double check' pandangan tok guru selain mengingatkan beliau apa yang diminta sebelumnya.

Isu saya menulis semula ucapan daripada kuliah dan kenyataan beliau, saya hanya membantu dari sudut bahasa sahaja agar ia mudah difahami pembaca.

5. Pandangan anda, siapa yang layak menggantikan tok guru kelak?

Ia harus merujuk kepada rakyat yang majmuk selain indivdu tersebut hendaklah seorang yang boleh diterima umum, memahami realiti, kehendak dan keperluan semasa.

Cabarannya adalah supaya ia dapat dinikmati oleh semua golongan yang berbeza. Secara keseluruhannya saya melihat orang itu harus memiliki dua ciri iaitu berpengetahuan Islam serta tahu keperluan yang relevan dengan sasaran masa dan rakyat di sesuatu tempat.

Pada saya, tok guru merupakan satu-satunya ulama dan tok guru yang mempunyai wilayah pemerintahan yang telah diterajui selama 18 tahun. Beliau telah membuktikan bahawa Islam boleh memerintah.

Ia suatu perkara yang tidak mudah, terus terang saya katakan bahawa orang itu perlu memiliki wawasan untuk Islam dan ummah seluruhnya. Sesiapa saja orang itu, harus tepuk dada dan tanya iman. - mr

Semoga kita dinaungi di bawah pimpinan ulama

Roslan Shahir
Mon | Sep 08, 08 | 9:23:21 am MYT
Bulan Ramadan ini sesungguhnya adalah bulan terbaik untuk bermuhasabah. Dalam keadaan berlapar dan berdahaga maka wajarlah kita bawa hati kita untuk mengkaji semula tindakan dan perbuatan kita selama ini apakah ianya telah memberikan manfaat dan faedah khasnya buat Islam ataupun kita rupa-rupanya selama ini berada dalam keadaan merugi dan membawa padah kepadanya. Iklan



Memang sukar untuk berterus terang walaupun terhadap diri sendiri, tetapi mudah-mudahan keberkatan Ramadan akan mencetuskan keikhlasan sehingga membawa kita untuk mudah berterus-terang dan meneropong diri tanpa prejudis.

Di bulan inilah kita perlu mencuri peluang untuk banyak membaca dan mengikuti kuliah dan program agama bagi memantapkan kefahaman agama kita disamping memperbanyakkan membaca al-Quran, bersolat sunat, beriktiqaf dan berdoa.

Ia laksana suatu persediaan bagi membolehkan kita mengharungi dengan jayanya bulan-bulan berikutnya di luar Ramadan nanti. Mengkoreksi diri setelah bermuhasabah adalah latihan paling mulia jika kita mampu melalui dan melaksanakannya.

Kalau sebelum ini kita berselisih pandangan, berlainan fikiran berhubung kaedah dan pendekatan, bercanggah fikiran, maka di bulan yang Allah perturunkan al Quran inilah sepatutnya kita bersedia membongkar kembali segala-galanya, serahkan penyelesaian kepada Allah dan Rasul-Nya s.a.w., berdasarkan firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dikalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalams esuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah dan (Sunnah) Rasul Nya, jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok kesudahannya" (an Nisaa: 59)

Dan siapakah jika tidak yang lebih baik untuk kita gantungkan penyelesaian tadi selain mereka yang ahli di dalamnya. Tidakkah Rasulullah saw telah berpesan kepada kita bahawa ulamak itu adalah pewaris para Nabi.

Dalam ketiadaan Nabi dan Rasul maka ulamak Islam yang ikhlas dan beramal dengan ilmunya itulah yang sewajarnya menjadi rujukan kita, tanpa menafikan ada juga ulamak yang sebaliknya yang harus kita berwasapada darinya.

Bagi yang beramal dengan ilmunya dan menjiwainya pula itulah maka Allah telah meletakkan mereka pada makam yang istimewa dari kita yang awam ini. Tidak, mereka tidak maksum tetapi mereka dicampakkan dengan kelebihan dekat pada Allah lantaran ilmu dan amalan mereka itu. Allah SWT berfirman (Faatir : 28):

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah para ulamak. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun'"

Ulamak jenis ini adalah murrabi, mu'addib dan rabbani. Murrabi dalam ertikata mereka berusaha meningkatkan ketaqwaan kita bagi menagih janji Allah dalam Al Quran iaitu untuk mendapat pembelaan-Nya dan untuk memperoleh kesejahteraan dunia dan Akhirat.

Mu'addib pula iaitu pendidik yang mendidik kita sebagai manusia yang benar-benar beradab, sama ada beradab dengan Tuhan mahu pun beradab dengan manusia atau makhluk. Manakala Rabbani pula adalah mereka ini dekat dengan Allah, llmu mereka langsung diberi oleh Tuhan. llmunya bukan sahaja dimiliki, malah diamal dan dihayati.

Lantas dalam dunia yang serba penuh dengan pancaroba dan dugaan ini, selain kita bergantung hidup pada fakta, ilmu dan logik akal, sebagai seorang Muslim, kita terikat untuk tidak melepaskan diri dari tali ikatan kita dengan Allah SWT. Bagaimana caranya jika tidak kita berada bersama para ulamak dalam setiap suasana dan ketika. Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan jalan dan laluan, kini terpulanglah kepada kita untuk memilihnya ataupun tidak.

Allah SWT berfirman (al Ahzab: 1-3), Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.

Dan ayat-ayat Allah ini diakhiri dengan ayat ke 4 yang berbunyi:

(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya.

Saya berpeluang mengikuti kuliah subuh yang dipimpin oleh Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh pagi tadi yang telah menghurai dan menjelaskan dengan sungguh terperinci ayat-ayat di atas. Lalu apabila saya pulang sempat saya mendapatkan Tafsir al Jalalayn yang menghuraikan ayat ke 4 diatas sebagai:

Allah tidak meletakkan dua hati dalam tubuh mana-mana manusia. Ayat ini bermaksud menafikan tohmahan golongan musuh yang kononnya mereka memiliki dua hati lantas melaluinya mereka dapat berhujah lebih baik berbanding Muhammad yang punya hanya satu minda.

(God has not placed two hearts inside any man: [this was revealed] in order to refute those disbelievers who said that they each had two hearts with which they could reason better than Muhammad's single mind)

Mudah-mudahan kita terus diberi peluang untuk bernaung di bawah para ulama yang seumpama ini. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya, selamat menjalankan ibadat puasa Ramadan.

(Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar kepada Presiden PAS)

Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Sat | Aug 30, 08 | 7:53:59 am MYT
Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini. Iklan



Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.

Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.

Presiden PAS_